Mohon saudara di Indonesia berdoa untuk penggunaan nama "Allah" dalam Alkitab Bahasa Malaysia. Berikut ini adalah berita atau akhbar dari Malaysia pada semalam 23 Mac 2009 :
Majlis Peguam usah cabar Islam
Tinjauan pendapat kalimah Allah dalam laman web timbul kemarahan: Zahid
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia semalam, diberi amaran terakhir supaya tidak terus mencabar kesabaran umat Islam apabila mengadakan tinjauan pendapat berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dalam laman webnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata majlis itu sepatutnya menghormati perkara itu kerana kes itu masih dalam semakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kabinet juga mengarahkan semua pihak menghentikan membincangkan isu itu.
Katanya, beliau juga sudah menyatakan di Parlimen isu itu tidak boleh dijadikan bahan perbincangan dan tindakan Majlis Peguam mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu menerusi laman webnya disifatkan tidak bijak.
"Saya nak beri amaran terakhir kepada Majlis Peguam Malaysia dan harap mereka sebagai peguam profesional dan peguam sivil, menghormatinya. Kalimah Allah bukan sesuatu yang boleh dibuat tinjauan (pendapat) dan ia seolah-olah mencabar (perasaan dan kesabaran) orang Islam.
"Jangan bermain api dengan orang Islam dan saya harap sikap kita (umat Islam) menghormati agama lain harus juga diterjemah oleh mereka untuk menghormati agama Islam.
"Jadi, saya harap selepas ini tidak ada lagi individu atau organisasi mempersoalkan isu ini dan menghormati keputusan Majlis Raja-Raja Melayu mengenai larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan kerajaan negeri yang juga sudah lama mewartakan perkara itu, dihormati sepenuhnya." katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Majlis Agama Wilayah Persekutuan di Setiawangsa di sini.
Ditanya adakah Majlis Peguam akan dipanggil untuk memberi penjelasan, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak perlu memanggil badan itu.
"Hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kalau mereka mempertikaikan ertinya secara tidak langsung mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu.
"Mereka jangan marah kalau menerima kebangkitan perasaan marah orang Islam," katanya.
Beliau juga menyokong langkah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Peguam berhubung perkara itu.
Diminta mengulas larangan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, supaya masjid dalam pengurusan Jakim tidak digunakan untuk bersumpah mubahalah bagi menyelesaikan pertelingkahan berkaitan politik dan parti, beliau berkata, institusi itu seharusnya bebas daripada kekangan pengaruh politik dan kepartian.
Katanya, masjid tempat penyatuan umat dan mengukuhkan martabat Islam selain tempat umat Islam menzahirkan keimanan kepada Allah.
"Cari masjid lainlah... bukan Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan atau Masjid Putra (untuk bersumpah mubahalah)," katanya.
* Di atas dipetik daripada berita harian, akhbar Malaysia. Nampaknya semakin jelas bahwa kerajaan negara saya Malaysia ingin mengharamkan perkataan nama Allah di Alkitab Malaysia. Saya masih mendengar kes ini dalam keputusan mahkamah lagi. Tolong doakan kerana Alkitab Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia digunakan saudara-saudari yang merupakan peribumi Sabah dan Sarawak (kedua negeri ini di Malaysia Timur/Borneo). Saya percaya juga digunakan oleh saudara-saudari orang Asli di sini juga.
Permohonan doa kedua saya adalah untuk nenek saya yang berada di hospital kerana sakit akibat kesan sampingan daripada pembedahan kanser payu dara pada 2004 lalu. Doa juga supaya hati nenek saya terbuka untuk Yesus Kristus seorang kerana seorang pastor pernah berdoa untuk nenek saya dan dilihatnya hati nenek saya telah tertutup untuk Yesus, walaupun dia sudah dibaptis tapi dia belum menerima Yesus sebagai Juruselamat peribadinya. Kerana keluarga di sebelah ibu saya masih lagi kuat memegang kepercayaan nenek moyang atau lelehur yang menjadi tradisi sejak turun-temurun. Ibu saya ada 10 orang adik-beradik sebenarnya (termasuk ibu saya), dua daripadanya keguguran semasa dalam kandungan nenek saya. Tinggal 8 orang, seorang daripada adik ibu saya telah memeluk Islam kerana terlanjur dlm hubungan, ayah kepada ibu saya(atuk saya), seorang abang dan seorang kakak kepada ibu saya belum percaya apa-apa agama(pagan atau percaya kepada amalan leluhur), tetapi anak-anaknya ada yang pernah pergi ke gereja. 5 orang daripada adik-beradik ibu saya (termasuk ibu saya) telah dibaptis tetapi ibu saya telah menerima Yesus sebagai Juruselamat peribadi, manakal 4 adiknya yang lain masih terikat dengan kepercayaan leluhur, walaupun sudah Kristian. Bagi kami, kami tidak boleh memaksa mereka untuk merima Yesus sebagai Juruselamat peribadi mereka melainkan berdoa saja untuk mereka, walaupun separuh hati mereka percaya juga kepada Yesus.
Mohon dukungan saudara di Indonesia, walaupun panjang lebar yang saya katakan di sini. Saya harap saudara di sana mengerti. Thanks...bless u all...Kasih karunia Yesus menyertai roh saudara sekalin....GBU...